Adakah Obesiti Itu Pilihan atau Penyakit?

Adakah Obesiti Itu Pilihan atau Penyakit?

Adakah Obesiti Itu Pilihan atau Penyakit?

Obesiti sering disalahfahami sebagai sekadar akibat pilihan peribadi. Namun sebenarnya, obesiti telah diiktiraf secara meluas sebagai penyakit kronik kompleks yang dipengaruhi oleh gabungan faktor biologi, persekitaran dan tingkah laku.1,2,3 Justeru itu, adalah penting untuk memahami perbezaan ini demi mengurangkan stigma serta menyokong pendekatan pengurusan jangka panjang yang lebih berkesan.4

Panduan Ringkas

  • Adakah obesiti itu pilihan? Bukan sepenuhnya; ia dipengaruhi oleh faktor biologi, persekitaran dan tingkah laku.
  • Adakah obesiti itu penyakit? Ya, obesiti diiktiraf sebagai penyakit kronik.1
  • Mengapa sukar untuk menurunkan berat badan? Penyebabnya merangkumi hormon, metabolisme dan faktor genetik.2
  • Apakah yang boleh dipertimbangkan? Individu yang mengalami masalah berat badan berterusan boleh mempertimbangkan untuk mendapatkan nasihat perubatan bagi penilaian selanjutnya.

Apakah Itu Obesiti?

Obesiti ditakrifkan sebagai pengumpulan lemak badan (tisu adipos) yang berlebihan, yang boleh meningkatkan risiko komplikasi kesihatan.1 Ia biasanya dinilai menggunakan indeks jisim badan (BMI), bersama petunjuk klinikal lain seperti ukuran lilitan pinggang dan tahap kesihatan metabolik secara keseluruhan.

Selain daripada aspek saiz badan, obesiti juga dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit seperti diabetes Jenis 2, penyakit kardiovaskular dan beberapa jenis kanser.1 Implikasi kesihatan yang lebih luas ini menyumbang kepada klasifikasi obesiti sebagai penyakit kronik yang memerlukan pengurusan jangka panjang, bukan sekadar isu gaya hidup jangka pendek.4,5

Mengapa Obesiti Diklasifikasikan Sebagai Penyakit Kronik

Obesiti bukan keadaan jangka pendek, tetapi ia adalah penyakit kronik yang boleh berulang (relaps) dan melibatkan perubahan jangka panjang dalam proses metabolik, hormon dan fisiologi.3

Obesiti diklasifikasikan sebagai keadaan kronik kerana ia:5

  • Berkembang secara beransur-ansur
  • Melibatkan pelbagai faktor penyumbang
  • Selalunya memerlukan pengurusan jangka panjang
  • Boleh berulang selepas penurunan berat badan awal

Tubuh manusia mengawal berat badan melalui sistem biologi yang kompleks. Apabila penurunan berat badan berlaku, tindak balas fisiologi boleh mengubah hormon dan metabolisme dengan cara yang mendorong kenaikan semula berat badan.6,7 Corak ini adalah konsisten dengan keadaan kronik lain yang memerlukan pengurusan berterusan, bukan sekadar intervensi sekali sahaja.5

Mengapa Pengawalan Berat Badan Bukan Sekadar Soal Kawalan Diri

Obesiti sering disalahanggap sebagai berpunca sepenuhnya daripada kekurangan disiplin atau kawalan diri. Walaupun tabiat pemakanan dan aktiviti fizikal memainkan peranan penting, ia hanyalah sebahagian daripada gambaran yang lebih menyeluruh.

Berat badan dikawal oleh sistem neurobiologi yang melibatkan otak, hormon dan proses metabolik.2 Isyarat berkaitan rasa lapar, kenyang dan keseimbangan tenaga sentiasa diselaraskan berdasarkan faktor dalaman dan luaran.8

Selain itu, faktor seperti tabiat tidur, stres dan persekitaran juga boleh mempengaruhi tingkah laku pemakanan serta pengawalan tenaga.3 Maka, sekiranya obesiti dilihat semata-mata sebagai tanggungjawab peribadi, tanggapan sebegini mengabaikan mekanisme asas yang dibicarakan di atas, lalu menyumbang kepada stigma.4

Peranan Genetik, Hormon dan Metabolisme

Beberapa faktor biologi mempengaruhi cara tubuh mengawal berat badan:

Kecenderungan Genetik

Faktor genetik boleh mempengaruhi berat badan dengan ketara. Kajian menunjukkan bahawa antara 40% hingga 70% variasi berat badan mungkin diwarisi.2,3 Pengaruh genetik ini boleh menjejaskan pengawalan selera makan, penyimpanan lemak dan penggunaan tenaga.

Hormon

Hormon seperti leptin dan ghrelin membantu mengawal rasa lapar dan kenyang. Gangguan dalam laluan isyarat ini boleh meningkatkan selera makan atau mengurangkan rasa kenyang.2

Metabolisme

Proses metabolik menentukan bagaimana tubuh menukarkan makanan kepada tenaga. Semasa proses penurunan berat badan, tubuh boleh menyesuaikan diri dengan mengurangkan penggunaan tenaga, menjadikan usaha untuk terus menurunkan atau mengekalkan berat badan lebih mencabar.2,7

Faktor-faktor biologi di atas membantu menjelaskan mengapa individu boleh memberi respons yang berbeza terhadap perubahan gaya hidup yang serupa.

Mengapa "Kurangkan Makan, Lebihkan Senaman" Mungkin Tidak Berkesan Bagi Sesetengah Individu

Nasihat seperti "kurangkan makan dan lebihkan senaman" selalunya berniat baik, namun ia mungkin tidak sepenuhnya mencerminkan kerumitan obesiti.

Walaupun pemakanan sihat dan aktiviti fizikal kekal penting, ia mungkin tidak mencukupi secara bersendirian bagi sesetengah individu. Apabila penurunan berat badan berlaku, tubuh boleh memberi tindak balas seperti:

  • Peningkatan isyarat rasa lapar
  • Pengurangan penggunaan tenaga
  • Penyesuaian fisiologi yang mendorong kenaikan semula berat badan2,6,7

Tindak balas ini merupakan sebahagian daripada sistem pengawalan semula jadi tubuh dan boleh berterusan dalam jangka masa panjang.7 Oleh itu, kenaikan semula berat badan adalah sesuatu yang lazim berlaku dan tidak seharusnya ditafsirkan semata-mata sebagai kurang usaha.9

Mengapa Penting untuk Melihat Obesiti Sebagai Penyakit

Melihat obesiti sebagai satu keadaan perubatan boleh membantu:

  • Mengurangkan stigma dan menyalahkan individu
  • Menggalakkan penilaian klinikal yang lebih awal
  • Menyokong akses kepada penjagaan yang sesuai
  • Meningkatkan hasil kesihatan jangka panjang

Pihak berkuasa kesihatan seperti National Institutes of Health dan Centers for Disease Control and Prevention menekankan hubungan antara obesiti dan kesihatan metabolik, serta kaitannya dengan komorbiditi serius.10,11

Mengiktiraf obesiti sebagai keadaan kronik membantu mengalihkan fokus daripada penurunan berat badan jangka pendek kepada pengurusan kesihatan jangka panjang, yang mungkin melibatkan gabungan pendekatan berdasarkan keperluan individu.4

Kesimpulan

Obesiti bukan sekadar soal pilihan peribadi. Ia merupakan satu keadaan kronik yang dipengaruhi oleh faktor biologi dan memerlukan pemahaman serta penjagaan jangka panjang.

Pengiktirafan ini membantu mengubah pendekatan daripada menyalahkan kepada menyokong, seterusnya membolehkan strategi pengurusan yang lebih berkesan dan berasaskan bukti. Individu yang menghadapi cabaran berterusan berkaitan berat badan mungkin mendapat manfaat daripada mendapatkan nasihat perubatan untuk penilaian yang menyeluruh.

Bila Perlu Mempertimbangkan untuk Berjumpa Doktor

Individu boleh mempertimbangkan untuk mendapatkan nasihat perubatan sekiranya isu berkaitan berat badan menjejaskan kesihatan keseluruhan atau kualiti hidup4,5. Ini mungkin lebih relevan bagi mereka yang:

  • Menghidapi penyakit seperti diabetes atau tekanan darah tinggi
  • Mengalami kenaikan semula berat badan berulang
  • Mengalami gejala seperti keletihan, sesak nafas atau ketidakselesaan sendi

Doktor pakar boleh menjalankan penilaian menyeluruh dan membincangkan pilihan yang sesuai berdasarkan keadaan kesihatan individu.

Jika kebimbangan berkaitan berat badan berterusan atau menjejaskan kesihatan, dapatkan nasihat perubatan. Obesiti adalah penyakit yang kompleks dan dipengaruhi oleh pelbagai faktor, dan penilaian awal boleh menyokong pemahaman yang lebih baik serta pendekatan pengurusan jangka panjang yang lebih sesuai.

berbincang Dengan Doktor Anda
RujukanExpand Icon
  1. World Health Organization. Obesity and overweight. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/obesity-and-overweight
  2. Westbury S, Oyebode O, van Rens T, Barber TM. Obesity Stigma: Causes, Consequences, and Potential Solutions. Curr Obes Rep. 2023;12(1):10-23. doi:10.1007/s13679-023-00495-3
  3. Rubino F, Puhl RM, Cummings DE, et al. Joint international consensus statement for ending stigma of obesity. Nat Med. 2020;26:485-497. doi.org/10.1038/s41591-020-0803-x
  4. Dobbie LJ, Coelho C, Crane J, McGowan B. Clinical evaluation of patients living with obesity. Intern Emerg Med. 2023;18(5):1273-1285. doi:10.1007/s11739-023-03263-2
  5. Bray GA, Kim KK, Wilding JPH; World Obesity Federation. Obesity: a chronic relapsing progressive disease process. A position statement of the World Obesity Federation. Obes Rev. 2017;18(7):715-723. doi:10.1111/obr.12551
  6. Sumithran P, Prendergast LA, Delbridge E, et al. Long-term persistence of hormonal adaptations to weight loss. N Engl J Med. 2011;365(17):1597-1604. doi:10.1056/NEJMoa1105816
  7. Rosenbaum M, Leibel RL. Adaptive thermogenesis in humans. Int J Obes (Lond). 2010;34 Suppl 1:S47-S55. doi:10.1038/ijo.2010.184
  8. Morton GJ, Meek TH, Schwartz MW. Neurobiology of food intake in health and disease. Nat Rev Neurosci. 2014;15(6):367-378. doi:10.1038/nrn3745
  9. Hall KD, Kahan S. Maintenance of Lost Weight and Long-Term Management of Obesity. Med Clin North Am. 2018;102(1):183-197. ://doi.org/10.1016/j.mcna.2017.08.012" target="_blank" rel="noopener noreferrer"> doi:10.1016/j.mcna.2017.08.012
  10. National Institutes of Health. Obesity and metabolic health. https://www.nih.gov/news-events/nih-research-matters/obesity-metabolic-health
  11. Centers for Disease Control and Prevention. Health effects of overweight and obesity. https://www.cdc.gov/obesity/php/about/health-effects.html